Friday, 4 September 2015

NEGARA DAN KERAJAAN IMPIAN


Sebuah negara yang aman dan membangun lahir daripada keadaan politik yang stabil, pertumbuhan ekonomi yang mantap dan keadaan sosial yang terkawal. Ketiga-tiga elemen ini sangat penting dalam membentuk sebuah negara yang aman dan tenteram. Dalam membentuk sesebuah negara yang merdeka politik memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju sesebuah negara. Politik juga seringkali dikaitkan dengan kuasa dan kepatuhan pada sistem autoriti yang diwujudkan.
Bagi rakyat, mereka mengimpikan sebuah kerajaan yang mampu mengekalkan keamanan dan dapat membangunkan sebuah negara ke tahap yang lebih baik terutama dari segi ekonomi, infrastruktur, peningkatan taraf hidup rakyat dan jaminan keselamatan serta mendapat kebebasan dalam menjalani kehidupan seharian. Dalam amalan demokrasi perkara-perkara ini dilihat antara faktor pemilihan sesebuah kerajaan oleh rakyat.

Banyak definisi negara diberikan oleh tokoh-tokoh pemikir barat dalam menjelaskan tentang negara dan kerajaan. Namun secara umumnya kerajaan merujuk kepada suatu organisasi kompleks atau institusi yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan urusan pentadbiran dan pemerintahan bagi memastikan keberkesanan orde dalam sesebuah masyarakat. Menurut Sity Daud dalam tulisannya bertajuk ‘Negara, pemerintah dan perkembangan sistem politik’ menyatakan kerajaan adalah suatu badan yang terdiri daripada ketua negara dan sejumlah menteri untuk mengendalikan pemerintahan sebuah negara manakala negara pula bermaksud wilayah yang wujud masyarakat politik yang berorganisasi dengan jentera kerajaan. Ini menunjukkan negara, kerajaan dan politik saling berkaitan dalam membincangkan tentang sebuah kerajaan atau negara.

Bagi Max Weber dalam buku ‘Politic as a Vocation’ setiap negara wujud hasil penggunaan kekerasan....Jika tiadanya institusi sosial ganas yang wujud konsep ‘negara’ tidak membawa maksud dan keadaan yang diberi nama ‘anarki’ akan timbul. Maka  menurut Weber negara adalah satu komuniti manusia yang dengan jayanya mendapat pengiktirafan penggunaan kekerasan dalam satu kawasan. Dalam definisi ini dia mencerminkan pendapat Thomas Hobbes yang mengatakan penguatkuasaan Leviathan akan mencegah kematian yang ganas.

Dalam konteks negara di Malaysia, keharmonian dan pembangunan pesat yang dinikmati kini mencerminkan kecekapan kerajaannya memerintah dan mentadbir negara. Malaysia mampu pergi dengan lebih jauh lagi jika pemerintahnya bijak dan cekap dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Walaupun mempunyai rakyat dari pelbagai lapisan bangsa agama dan budaya namun Malaysia tetap mampu mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam masyarakatnya dengan formulanya yang tersendiri.

No comments:

Post a Comment