Friday, 4 September 2015

ISU DAN CABARAN PENDIDIKAN SEMASA

PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN




Apabila menyebut tentang demokrasi perkara yang sering terlintas dalam fikiran kita adalah tentang kebebasan. Namun apa perkaitannya demokrasi dengan pendidikan? Demokrasi dan pendidikan merupakan dua perkara yang berbeza tetapi memberi kesan yang besar terhadap sesebuah negara. Pendidikan sering dikaitkan dengan ilmu dan pembentukan generasi muda manakala demokrasi sering dikaitkan dengan politik dan kuasa. Namun dalam artikel ini apa yang ingin diketengahkan adalah berkaitan pendemokrasian pendidikan dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan negara. Ini kerana kedua-dua elemen ini dilihat memberi berkesan yang besar terhadap pembentukan generasi muda dan seterusnya ke arah pembentukan sesebuah negara yang maju. 
 

Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut mengenai pendemokrasian pendidikan ini elok difahami dahulu konsep pendemokrasian pendidikan. Pendemokrasian pendidikan merupakan satu proses memberikan hak dan peluang sama rata kepada setiap individu untuk mendapatkan pendidikan serta menikmati kemudahan pendidikan yang disediakan atau dengan kata lain diberi hak untuk mendapat pendidikan yang berkualiti dan bebas memilih jenis pendidikan dan sekolah yang diingini tanpa mengira status sosial, ekonomi, agama, bangsa dan kaum dalam negara ini. Pendemokrasian juga ditakrifkan sebagai persamaan hak terhadap proses pemerolehan pengajaran dan pembelajaran pendidikan yang disediakan oleh sesuatu sistem pendidikan dalam sesebuah negara. Dalam hal ini Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggubah satu dasar pendidikan bagi  menambahbaik sistem pendidikan Malaysia dengan memperkenalkan dasar “Pendemokrasian Pendidikan” yang berteraskan kepada perkataan demokrasi yang membawa kepada maksud yang doktrin iaitu asas penentuan bukan sahaja pembentukan kerajaan tetapi juga sebagai rangka budaya pentadbiran sesebuah negara.

Di Malaysia proses pendemokrasian pendidikan telah bermula dalam menyediakan keperluan pendidikan kepada semua warganya. Pendekatan dan perlaksanaan pendemokrasian pendidikan dalam sistem pendidikan di negara kita kebanyakanya adalah didorong oleh reformasi pendidikan. Pendemokrasian pendidikan adalah suatu program yang amat penting kepada semua lapisan masyarakat di negara kita. Hal ini kerana pendemokkrasian pendidikan memberi banyak kesan kepada sistem pendidikan dan masyarakat di Malaysia. Melalui pendemokrasian pendidikan ini kita dapat memberikan hak yang sama rata dari segi peluang pendidikan yang bermutu kepada rakyat negara ini tanpa mengira latar belakang dan status sosial mereka. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, bertaggunggjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Kewujudan pendemokrasian pendidikan ini dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antara faktor-faktor perlunya pendemokrasian ini adalah kerana tuntutan kehidupan masa kini yang menuntut masyarakat untuk mendapat peluang pendidikan yang sama tanpa mengira latar belakang. Disamping itu juga corak kehidupan masa kini yang mementingkan status dan material menyumbangkan kepada pembentukan konsep pendemokrasian pendidikan di negara kita. Pendemokrasian pendidikan yang berlaku di Malaysia menjadi faktor pendorong kepada pembangunan sumber manusia. Sekolah, maktab dan universiti memainkan peranan penting dari segi menyediakan sumber manusia yang berpendidikan dan terlatih. Oleh itu kemajuan sumber manusia di sesebuah negara amat bergantung kepada faktor pendidikan dan tahap pendidikan yang dinikmati oleh rakyat. Pendidikan berasaskan kepada kemahiran tertentu adalah perlu meliputi pendidikan vokasional, teknikal, politeknik dan pendidikan umum yang berasaskan pencapaian akademik.

Kepentingan pendemokrasian pendidikan jelas diperlihatkan apabila ia dapat membasmi masalah buta huruf dalam kalangan penduduk dalam negara kurang maju. Ini dibuktikan dengan perlaksanaan sistem pendidikan melalui pendemokrasian pendidikan kepada semua masyarakat luar bandar. Selain membasmi masalah buta huruf, pendemokrasian pendidikan juga dapat merapatkan jurang pendidikan dan pencapaian akadmik dalam masyarakat berbilang kaum dalam negara ini. Ini kerana jurang pencapaian akademik juga dipengaruhi oleh perbezaan kelas sosial, perbezaan sosialisasi, bahasa dan penempatan masyarakat sama ada bandar atau luar bandar. 

Secara keseluruhannya pendemokrasian pendidikan merupakan satu kebebasan yang diberi dalam pendidikan yang mencerminkan hak asasi kanak-kanak dan manusia itu terbela dalam sesebuah negara. Pendidikan merupakan perkarayang amat penting kepada masyarakat dan negara. Pembelaan terhadap masyarakat dalam isu berkaitan pendidikan amat penting untuk dititikberatkan bagi menjamin pembentukan generasi yang berkualiti seterusnya membantu membangunkan sebuah negara yang maju. Pendemokrasian ini membantu menjadikan negara ini aman dan sejahtera seterusnya dapat memenuhi keperluan asas rakyat dalam mendapatkan pendidikan.









No comments:

Post a Comment