MOGA GURU-GURU TERUS BERSEMANGAT DALAM MENDIDIK ANAK BANGSA
Blog Cikgu Miza...Jom belajar!
Friday, 4 September 2015
NEGARA DAN KERAJAAN IMPIAN
Sebuah negara yang
aman dan membangun lahir daripada keadaan politik yang stabil, pertumbuhan
ekonomi yang mantap dan keadaan sosial yang terkawal. Ketiga-tiga elemen ini
sangat penting dalam membentuk sebuah negara yang aman dan tenteram. Dalam
membentuk sesebuah negara yang merdeka politik memainkan peranan penting dalam
menentukan hala tuju sesebuah negara. Politik juga seringkali dikaitkan dengan
kuasa dan kepatuhan pada sistem autoriti yang diwujudkan.
Bagi rakyat, mereka
mengimpikan sebuah kerajaan yang mampu mengekalkan keamanan dan dapat
membangunkan sebuah negara ke tahap yang lebih baik terutama dari segi ekonomi,
infrastruktur, peningkatan taraf hidup rakyat dan jaminan keselamatan serta mendapat
kebebasan dalam menjalani kehidupan seharian. Dalam amalan demokrasi perkara-perkara
ini dilihat antara faktor pemilihan sesebuah kerajaan oleh rakyat.
Banyak definisi
negara diberikan oleh tokoh-tokoh pemikir barat dalam menjelaskan tentang
negara dan kerajaan. Namun secara umumnya kerajaan merujuk kepada suatu
organisasi kompleks atau institusi yang dipertanggungjawabkan untuk
mengendalikan urusan pentadbiran dan pemerintahan bagi memastikan keberkesanan
orde dalam sesebuah masyarakat. Menurut Sity Daud dalam tulisannya bertajuk
‘Negara, pemerintah dan perkembangan sistem politik’ menyatakan kerajaan adalah
suatu badan yang terdiri daripada ketua negara dan sejumlah menteri untuk
mengendalikan pemerintahan sebuah negara manakala negara pula bermaksud wilayah
yang wujud masyarakat politik yang berorganisasi dengan jentera kerajaan. Ini
menunjukkan negara, kerajaan dan politik saling berkaitan dalam membincangkan
tentang sebuah kerajaan atau negara.
Bagi Max Weber
dalam buku ‘Politic as a Vocation’ setiap negara wujud hasil penggunaan
kekerasan....Jika tiadanya institusi sosial ganas yang wujud konsep ‘negara’
tidak membawa maksud dan keadaan yang diberi nama ‘anarki’ akan timbul.
Maka menurut Weber negara adalah satu
komuniti manusia yang dengan jayanya mendapat pengiktirafan penggunaan
kekerasan dalam satu kawasan. Dalam definisi ini dia mencerminkan pendapat
Thomas Hobbes yang mengatakan penguatkuasaan Leviathan akan mencegah kematian
yang ganas.
Dalam konteks
negara di Malaysia, keharmonian dan pembangunan pesat yang dinikmati kini mencerminkan
kecekapan kerajaannya memerintah dan mentadbir negara. Malaysia mampu pergi
dengan lebih jauh lagi jika pemerintahnya bijak dan cekap dalam melaksanakan
tanggungjawabnya. Walaupun mempunyai rakyat dari pelbagai lapisan bangsa agama
dan budaya namun Malaysia tetap mampu mengekalkan keamanan dan keharmonian
dalam masyarakatnya dengan formulanya yang tersendiri.
ISU DAN CABARAN PENDIDIKAN SEMASA
PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN
Apabila menyebut tentang demokrasi perkara yang sering terlintas dalam fikiran kita adalah tentang kebebasan. Namun apa perkaitannya demokrasi dengan pendidikan? Demokrasi dan
pendidikan merupakan dua perkara yang berbeza tetapi memberi kesan yang
besar terhadap sesebuah negara. Pendidikan sering dikaitkan dengan ilmu
dan pembentukan generasi muda manakala demokrasi sering dikaitkan dengan
politik dan kuasa. Namun dalam artikel ini apa yang ingin
diketengahkan adalah berkaitan pendemokrasian pendidikan dalam menghadapi
cabaran semasa dan masa hadapan negara. Ini kerana kedua-dua elemen ini
dilihat memberi berkesan yang besar terhadap pembentukan generasi muda
dan seterusnya ke arah pembentukan sesebuah negara yang maju.
Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut mengenai pendemokrasian pendidikan ini elok difahami dahulu konsep pendemokrasian pendidikan. Pendemokrasian pendidikan merupakan satu proses memberikan hak dan peluang sama rata kepada setiap individu untuk mendapatkan pendidikan serta menikmati kemudahan pendidikan yang disediakan atau dengan kata lain diberi hak untuk mendapat pendidikan yang berkualiti dan bebas memilih jenis pendidikan dan sekolah yang diingini tanpa mengira status sosial, ekonomi, agama, bangsa dan kaum dalam negara ini. Pendemokrasian juga ditakrifkan sebagai persamaan hak terhadap proses pemerolehan pengajaran dan pembelajaran pendidikan yang disediakan oleh sesuatu sistem pendidikan dalam sesebuah negara. Dalam hal ini Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggubah satu
dasar pendidikan bagi menambahbaik sistem pendidikan Malaysia dengan
memperkenalkan dasar “Pendemokrasian Pendidikan” yang berteraskan kepada
perkataan demokrasi yang membawa kepada maksud yang doktrin iaitu asas penentuan
bukan sahaja pembentukan kerajaan tetapi juga sebagai rangka budaya pentadbiran
sesebuah negara.
Di Malaysia proses pendemokrasian pendidikan telah bermula dalam menyediakan keperluan pendidikan kepada semua warganya. Pendekatan dan perlaksanaan pendemokrasian pendidikan dalam sistem pendidikan di negara kita kebanyakanya adalah didorong oleh reformasi pendidikan. Pendemokrasian pendidikan adalah suatu program yang amat penting kepada semua lapisan masyarakat di negara kita. Hal ini kerana pendemokkrasian pendidikan memberi banyak kesan kepada sistem pendidikan dan masyarakat di Malaysia. Melalui pendemokrasian pendidikan ini kita dapat memberikan hak yang sama rata dari segi peluang pendidikan yang bermutu kepada rakyat negara ini tanpa mengira latar belakang dan status sosial mereka. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, bertaggunggjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Kewujudan pendemokrasian pendidikan ini dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antara faktor-faktor perlunya pendemokrasian ini adalah kerana tuntutan kehidupan masa kini yang menuntut masyarakat untuk mendapat peluang pendidikan yang sama tanpa mengira latar belakang. Disamping itu juga corak kehidupan masa kini yang mementingkan status dan material menyumbangkan kepada pembentukan konsep pendemokrasian pendidikan di negara kita. Pendemokrasian pendidikan yang berlaku di Malaysia menjadi faktor pendorong kepada pembangunan sumber manusia. Sekolah, maktab dan universiti memainkan peranan penting dari segi menyediakan sumber manusia yang berpendidikan dan terlatih. Oleh itu kemajuan sumber manusia di sesebuah negara amat bergantung kepada faktor pendidikan dan tahap pendidikan yang dinikmati oleh rakyat. Pendidikan berasaskan kepada kemahiran tertentu adalah perlu meliputi pendidikan vokasional, teknikal, politeknik dan pendidikan umum yang berasaskan pencapaian akademik.
Kepentingan pendemokrasian pendidikan jelas diperlihatkan apabila ia dapat membasmi masalah buta huruf dalam kalangan penduduk dalam negara kurang maju. Ini dibuktikan dengan perlaksanaan sistem pendidikan melalui pendemokrasian pendidikan kepada semua masyarakat luar bandar. Selain membasmi masalah buta huruf, pendemokrasian pendidikan juga dapat merapatkan jurang pendidikan dan pencapaian akadmik dalam masyarakat berbilang kaum dalam negara ini. Ini kerana jurang pencapaian akademik juga dipengaruhi oleh perbezaan kelas sosial, perbezaan sosialisasi, bahasa dan penempatan masyarakat sama ada bandar atau luar bandar.
Secara keseluruhannya pendemokrasian pendidikan merupakan satu kebebasan yang diberi dalam pendidikan yang mencerminkan hak asasi kanak-kanak dan manusia itu terbela dalam sesebuah negara. Pendidikan merupakan perkarayang amat penting kepada masyarakat dan negara. Pembelaan terhadap masyarakat dalam isu berkaitan pendidikan amat penting untuk dititikberatkan bagi menjamin pembentukan generasi yang berkualiti seterusnya membantu membangunkan sebuah negara yang maju. Pendemokrasian ini membantu menjadikan negara ini aman dan sejahtera seterusnya dapat memenuhi keperluan asas rakyat dalam mendapatkan pendidikan.
Subscribe to:
Posts (Atom)